Monday, January 4, 2010

2010: Harapan dan Keinginan

2009 sudah melabuhkan tirainya, tidak mungkin akan kembali lagi lagi, tidak sekali-kali, penuh dengan gelak tawa, sarat dengan emosi, dihujani dengan pengalaman, disentak dengan kejutan dan macam-macam lagi. Jasad dan rohani menempuh, harus menempuh, tiada pilihan lain. Namun, adakah semua itu mematangkan? Sejauh manakah semua itu menjadikan kita dewasa? Lebih baikkah kita? Atau masih sama? Jawapannya hanya ada pada diri kita, pada diri yang mahu belajar, bukan bagi mereka yang degil dan sombong. Terlalu banyak yang aku pelajari pada 2009, terutamnya tentang dunia, manusia, alam dan diri sendiri, semua diadun dalam satu acuan yang sama, menjadi sebati, dan mendewasakan diri ini.

2009 boleh dianggap sebagai tahun dimana aku mula sedar apa peranan aku di muka bumi ini, suatu kejutan dari lena yang panjang, 25 tahun, bukan jangka masa yang pendek, usia yang meniti hari dan usia keramat yang menunjukkan aku apa permainan dunia sebenar, dunia indah, kejam, penuh muslihat, penuh gembira, semuanya adalah berdasarkan persepsi kita sendiri. Bagaiman akita menilai diri kita.. dari 6.5 billion penduduk di muka bumi, masing-masing dengan cerita, kisah dan pengalaman sendiri, dan kita juga salah satu dari yang mewarnai muka bumi ini. Syukur kepada tuhan sekalian alam kerana member kita rahmatnya untuk terus menikmati keindahan dunia.

Sejauh mana sumbangan kita kepada semua di sekeliling? Masih terlalu banyak yang belum dibuat….

2010, suatu titik mula, suatu turning point untuk aku menapak dengan langkah kecil, untuk meneruskan kehidupan dan mengorak acuan baru supaya warnaya lebih berseri, supaya aku akan sentiasa tersenyum tahun ini, mencari abadi, mencari diri sendiri, agar apa yang terkandung tahun ini dipenuhi dengan madu bunga-bunga yang mekar mewangi.

Terlalu banyak harapan untuk tahun ini, dari segi pekerjaan, pelajaran, sosial, keluarga, semua itu ada peranannya menjadikan aku lebih matang. Ini bukan lagi masa untuk duduk bersenang lenang dan bermenung, kerana itu semua tidak akan mendatangkan apa-apa. Rezeki tidak akan datang sendiri kalau tidak dicari, jodoh? Mungkin juga tidak akan datang sendiri, tapi siapa tahu?

Keinginan? Pastinya memuncak di tahun baru ini, material berlegar di minda, tapi tetap terhalang apabila peribahasa ‘ukur baju badan sendiri’ di ambil kira… tak semua yang kita inginkan boleh kita capai. Maka bersabarlah dan pujuklah hati agar kita selalu damai.

Rintihan hati, hanya kita sahaja yang dapat mendengarnya, suara hati juga hanya kita yang dengar nadanya, apa yang dipamerkan di luar kadang kala terlalu berbeza dengan apa yang sebenarnya berlegar di dalam.

2010 pastinya menuntut jiwa yang cekal dan tabah, keputusan yang bijak dan adil, kata-kata yang indah dan damai, tindakan yang sopan dan luhur, dan cinta yang tulus dan abadi,

Persoalannya, mampukah?

3 comments:

ijau said...

happy new year..
;)

Raja Azrul said...

apa yang kita hajati kita mampu untuk capai..

cuma ada perancangan, keberanian dan kemampuan.

kalau kita terikat, ini bukan bermakna kita tewas.

Apa-apapun salam tahun baru 2010..!!

PULLAH said...

tu tandanya ko kene 'mendirikan masjid' tuh